Sunday, July 03, 2011
STADIUM BARU UNTUK KELANTAN JIKA PAS TUMBANG : PM MALAYSIA
Rakyat Kelantan bakal mendapat sebuah stadium baru sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Itu janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Kelantan yang mahu sebuah stadium baru dibina bagi menggantikan stadium Sultan Muhammad Keempat, yang semakin uzur.
Kata Najib, bagi membuktikan komitmen kerajaan pusat, janji itu akan dijadikan sebahagian manifesto pilihan raya BN Kelantan yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
"Dalam zaman ICT ni, stadium Kelantan masih ada orang yang 'rukas' (panjat) untuk tukar 'scoreboard'. Inilah yang akan jadi kalau letak orang yang kurang kemampuan di tempat orang yang sepatutnya lebih berkemampuan...jadilah stadium 'rukas'.
"Tapi kalau malam ini diumumkan BN kuasai Kelantan, esok ambo (saya) buat stadium yang cantik dengan sistem scoreboard terkini," katanya yang disambut sorakan 15,000 rakyat.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, di Sekolah Kebangsaan Machang 1 hari ini, yang turut dihadiri beberapa pemain skuad Kijang itu.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamad, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Naib Presiden Umno, yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.
Bagaimanapun, Najib berkata semua itu terpulang kepada rakyat Kelantan untuk menentukan sama ada stadium itu akan menjadi milik mereka.
"Kalau nak lakukan perubahan, harus tahu di mana suisnya. Suisnya bukan pada saya, suisnya ada pada rakyat Kelantan sendiri," katanya sambil memuji semangat juang pasukan bola sepak Kelantan yang mampu bangkit, walaupun sebelum ini tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata hanya dengan kepimpinan yang benar-benar berkebolehan, pasukan itu mampu melonjak walaupun berdepan kekangan kewangan berbanding negeri lain.
Mengambil contoh kejayaan pasukan itu, Najib menekankan betapa kepimpinan harus diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan mampu menunjukkan prestasi baik, begitu juga dengan politik.
"Pada pengamatan saya, soal paling penting ialah kepimpinan politik di mana kita mahu meletak orang berkemampuan, barulah pasukan atau negara itu boleh maju," katanya.
Pada majlis itu, Najib dinobatkan peminat nombor satu pasukan The Red Warriors.
Holding Label :
bULETIN uTAMA
STADIUM BARU UNTUK KELANTAN JIKA PAS TUMBANG : PM MALAYSIA
2011-07-03T01:37:00+08:00
FaKArePa!n
bULETIN uTAMA|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)