Monday, August 19, 2013

KELEBIHAN PUASA SUNAT 6 HARI DI BULAN SYAWAL

Puasa sunat syawal

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.


Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya
“sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ).

Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.


Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya
“sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud
“Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”
Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

SUMBER 100% : ukhwah.com

No comments:

Post a Comment

Kalau berkenan atau benci dengan entri ni. boleh hentam kat sini